Thursday, December 24, 2009

Gua Tempurung Adventure

Berusia lebih 400 juta tahun, Gua Perah atau lebih dikenali sebagai Gua Tempurung merupakan satu destinasi perlancongan yang terletak di Gopeng, Perak. Ia merupakan antara gua batu kapur yang terindah dan terbesar di Malaysia. Perjalanan melalui lebuh raya Utara Selatan hanya mengambil masa kira-kira 2 jam dari Kuala Lumpur.


Ekspedisi menerokai keindahan Gua Tempurung secara keseluruhannya mengambil masa kira 3 jam setengah iaitu 4 km. Umumnya ia terbahagi kepada 4 jenis ekspedisi iaitu Golden Flowstone (Dry), Top of the world (Dry) ,Top of the world and Short River Adventure (Wet) dan Grand Tour (Wet). Masa lawatan adalah seawal jam 9 pagi hingga 4.00 petang bergantung pada jenis ekspedisi yang dipilih.


Ekspedisi kami bermula dengan menaiki 1500 anak tangga yang mempunyai 10 platform agak mencabar. Keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Tok Janggut (nama sebenar Mohd Syahryzan) iaitu juru pandu (guide) yang menemani kami, kepenatan mendaiki anak tangga ini ditidak dirasai. Di setiap platform beliau memberikan penerangan serta menunjukkan keunikkan bentuk-bentuk atau monumen yang terbentuk secara semulajadi. Antara monumen yang dapat dilihat ialah kepala kambing gurun, kepala gajah, kaki wanita, bentuk badan wanita, wajah seorang perempuan tua, batu yang berbentuk dewa kepada umur panjang @ smiling budha. arca yang terbentuk dari tahi kelawar dan sebagainya. Ketika menaiki platform ini, anda juga dapat melihat terdapat peralatan melombong seperti cangkul, menurut Tok Janggut, ia merupakan peninggalan daripada pelombong bijih timah dan ia sememangnya ditemui ketika gua ini diterokai.


Bahang mulai terasa sehinggalah kami tiba di Wind Tunnel, nyaman udara di sini seakan-akan terasa di puncak gunung. Mitos mengatakan bahawa udara sejuk di sini adalah hembusan dari seekor naga. Secara saintifiknya ia merupakan proses stimmer iaitu proses pertembungan udara panas di luar gua dan udara sejuk di dalam gua yang menghasilkan wap air.


Bersempena dengan penemuan batu kapur yang berusia lebih 200 ribu tahun dan masih aktif, Top of The World, merupakan platform ke 5 bagi mereka yang mengambil pakej lawatan ke 2. Di sini dapat dilihat batu yang berbentuk Dewa Kuang Yin, hati manusia, tangan dan kelawar gergasi. Di platform ke 7, terdapat tulisan bahasa mandarin di gua ini yang menerangkan bahawa keadaan paras air pada 16 Jun 1959, telah meningkat sehingga mencecah kawasan ini. Petikan ini ditulis oleh “Yang Ming Sun”. Platform ke 10 merupakan platform terakhir kami melalui kawasan “dry area” perjalanan yang diterangi dengan lampu dan anak tangga yang terakhir dijejaki.


Alam Gua memerlukan kekuatan fizikal dan juga mental kerana keadaan gua yang gelap serta stalaktait dan stalakmait yang terbentuk dipermukaan gua. Hanya ditemani dengan lampu suluh, menyebabkan ada kala kami terpaksa meraba di dalam gelap kerana tidak tahu apa yang berada di hadapan kami.


Cabaran pertama bagi mereka yang membuat lawatan Grand Tour adalah menyusuri terowong kecil, kami terpaksa mengambil giliran untuk melalui gua. Setelah menyusuri terowong ini, kami terpaksa melakukan “easy sliding” iaitu kira-kira 20 kaki tinggi. Oleh kerana ini merupakan pengalaman pertama melakukan sliding tanpa alat bantuan, Tok Janggut menerangkan dengan terperinci teknik-teknik dan cara-cara sliding yang betul. Hati terasa berdebar-debar walaupun ia bukan lah setinggi mana tapi perasaan takut masih ada. Dengan keyakinan dan kecekalan mental, sliding yang agak mendebarkan ini mampu di atasi. Di sinilah kekuatan mental dan kerjasama antara satu sama lain amat diharapkan.


Meredah anak sungai, pada mula nya amat menyeronokkan, tapi awas sekiranya anda leka pada pastinya anda akan terhantuk kepada stalaktait. Sungguh tidak percaya kami terpaksa melakukan aksi ala komander “merangkak di dalam air”. Kami terpaksa berhati-hati kerana ruangan ini amat sempit sekali.


Keindahan semula jadi batu kapur ini dapat dilihat dengan lebih dekat dan jelas lagi. Sesungguhnya sungguh tidak menyangka bahawa khazanah alam semulajadi ini sungguh mengasyikan mata yang memandang. Tiba-tiba kami ternampak cahaya seolah-olah kami ekspedisi ini telah tamat. Perasaan lega mula terasa, tetapi anggapan itu salah, ekpedisi kami hanya baru 1 jam setengah berlalu. Masih ada lagi kira-kira 2 kilometer perjalanan pulang yang perlu diteruskan. Setelah berehat melepaskan lelah, kami kembali meneruskan ekpedisi ini.


Melalui jalan yang agak mudah, kami merasakan bahawa seolah-olah tidak lagi cabaran lasak yang perlu dilakukan. Rupa-rupanya kami terpaksa merangkak kembali di dalam air untuk sampai ke platform ke 6. Hati bertambah lega apabila hanya cabaran 1500 anak tangga yang menanti kami. Seolah-olah merasakan hanya cabaran fizikal diperlukan dan ianya tidak lah sesukar mana. Huh! Anggapan kami rupa salah cabaran yang menanti bukanlah menaiki 1500 anak tangga tetapi melakukan sliding setinggi 25 kaki. Jika sebelumnya “easy sliding” 20 kaki dirasakan agak gementar, sliding 25 kaki ini lebih mengerunkan kerana kecuraman yang agak menegak. Jika sebelumnya teknik penahan kaki dilakukan, tetapi kali ini teknik mengunakan tangan sebagai pengawal kelajuan. Malah posisi badan juga perlu dititikberatkan dilakukan kerana sekiranya berlaku kesilapan sudah pasti kami akan terjatuh ke bawah gaung atau melibatkan kecederaan. Menggunakan tangan sebagai penahan agak sukar dilakukan kerana keadaan lantai gua yang agak basah dan gelap. Melihat dengan keadaan kami yang agak gementar, Tok Janggut seakan-akan memberikan semangat bahawa kami boleh melakukan cabaran ini. Dengan semangat dan keyakinan inilah kami berjaya mengatasinya.


Lubang tikus merupakan cabaran berikutnya, menurut Tok Janggut, lubang ini merupakan lubang semulajadi yang ditemui. Mereka percaya bahawa dahulunya kawasan ini merupakan air terjun kecil yang terdapat di dalam Gua ini. Oleh kerana gua ini telah berusia lebih 400 juta tahun, berkemungkinan air terjun ini telah kering dan menjadi anak sungai. “River Adventure” merupakan cabaran terakhir kami, ketinggian paras air sungai yang ketika itu agak sukar dilalui apatah lagi keadaan merangkak.


Secara keseluruhannya ekspedisi Gua Tempurung merupakan satu ekspedisi yang amat mencabar bagi mereka baru ingin menceburi aktiviti lasak. Kekuatan mental, fizikal adalah aspek penting untuk melakukan aktiviti ini. Semangat kerjasama antara kumpulan perlu dipupuk dan mampu dibina antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, tiada perkara yang tidak mampu dilakukan atau pun mustahil bagi diri seseorang. Yang penting keazaman dan kecekalan perlu ada dalam menghadapi rintangan. Walaupun penat dan letih namum kami masih lagi menyimpan rasa kagum pada keunikkan gua batu kapur ini.

No comments:

Post a Comment